Social
132

Padah buat laporan palsu kereta hilang

Port Dickson – Polis menahan seorang lelaki selepas membuat laporan palsu kehilangan kenderaan miliknya, supaya dapat menggunakan wang tuntutan insurans untuk berkahwin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu membuat laporan polis berhubung kehilangan sebuah kereta miliknya jenis Subaru Forester di tempat meletak kereta di Lukut Prima, Port Dickson pada jam 9.30 malam 20 April lalu.

Beliau berkata, soal siasat awal mendapati lelaki itu meletakkan kereta miliknya itu di kawasan tersebut sekitar jam 8 malam untuk pergi makan bersama rakannya.

“Sebaik dia kembali semula ke tempat meletak kereta berkenaan pada jam 9 malam, dia memaklumkan keretanya tiada di tempat letak kereta dan terus ke balai polis untuk membuat laporan.

“Bagaimanapun, pada jam 1.30 petang Isnin lalu, selepas disoal siasat lanjut oleh polis, pengadu akhirnya mengaku sengaja mengada-adakan cerita mengenai kehilangan keretanya dan mendapati kenderaan itu disimpan di suatu tempat lain dengan tujuan untuk mendapatkan tuntutan insurans,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, punca lelaki itu membuat laporan polis adalah untuk membuat tuntutan insurans bagi tujuan digunakan wang tuntutan itu untuk mengadakan majlis perkahwinan.

“Kita kemudian menahan lelaki berkenaan pada jam 1.30 petang Isnin lalu oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Polis juga dapat menemukkan kereta yang disorokkan lelaki itu di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut,” katanya.

Aidi Sham berkata, lelaki yang bekerja sebagai penganalisis data itu kini masih ditahan di Lokap Polis Port Dickson sehingga esok.

“Lelaki ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang masih berdegil membuat laporan polis palsu yang menyusahkan banyak pihak,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu