Social
196

Padah gagal daftar MySejahtera

Kuantan – Dua beradik antara tujuh individu dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran di sebuah premis makanan di Teluk Cempedak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata sepanjang pemeriksaan dilakukan tujuh individu berusia 18 hingga 61 tahun dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, tujuh individu itu, termasuk pemilik gerai makanan di Teluk Cempedak dikenakan kompaun di bawah Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kesalahan yang dilakukan mereka kerana tidak mendaftar nama pada buku daftar masuk premis dan mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sepanjang tempoh 10 hari, polis sudah mengeluarkan sebanyak 25 notis kompaun kepada individu yang didapati melanggar SOP.

“Tindakan ini bertujuan menyedarkan masyarakat supaya sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya di sini.

Beliau berkata, pihak polis bukan bertindak sesuka hati mengeluarkan kompaun kepada orang ramai, sebaliknya menjalankan tugas yang diamanahkan semata-mata untuk kebaikan bersama.

“Polis bukan mencari kesalahan, tetapi lebih kepada untuk membasmi wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu