Social
371

Padah main bola sepak tanpa surat

Putrajaya – Polis Putrajaya telah mengeluarkan kompaun ke atas lima lelaki yang bermain bola sepak semalam kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata kesemua mereka berusia 23 hingga 28 tahun itu dikenakan tindakan selepas didapati tiada surat kebenaran merentas daerah atau negeri dari Selangor ke Putrajaya.

Beliau berkata pemeriksaan dibuat oleh pihak polis antara 8 hingga 11.45 malam selepas mendapati terdapat sekumpulan individu bermain bola sepak di Padang Bola Sintetik, Presint 8, dekat sini.

“Kesemua mereka yang merupakan kakitangan swasta datang dari Selangor masuk ke Putrajaya menggunakan Pas Bekerja namun mengambil kesempatan dengan bermain bola sepak selepas habis waktu bekerja,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter @KhairilAnuar dalam ciapannya menyatakan lima individu dikenakan kompaun selepas bermain bola sepak kerana didapati bukan penduduk Putrajaya. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu