Social
48

Padah miliki 15 keping surat pergerakan PKPB palsu

Kuala Lumpur – Seorang lelaki ditahan polis selepas pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta dipandunya di Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur awal pagi hari Sabtu, menemui sebanyak 15 keping dokumen permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disyaki palsu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, tangkapan dibuat kira-kira pukul 6.10 pagi oleh anggota Balai Polis Sri Petaling sewaktu sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah.

“Sewaktu sedang melakukan rondaan, anggota bertugas telah terlihat sebuah kereta jenis Honda City dipandu dalam keadaan mencurigakan dan telah bertindak menahan kereta berkenaan bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sebanyak 15 keping dokumen permit PKPB disyaki palsu yang turut mempunyai tandatangan dan cop balai polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari Sabtu.

Menurut Anuar, suspek, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur dan telah dibenarkan reman empat hari sehingga 27 April ini.

“Polis sedang menyiasat sama ada kesemua dokumen tersebut adalah untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

“Tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan yang bertentangan dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegas beliau. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu