Social
174

Padah muat naik kata kesat, ugut petugas SJR di FB

Putrajaya – Seorang wanita dipercayai memuat naik beberapa hantaran menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan kepada petugas sekatan jalan raya di Putrajaya, ditahan malam tadi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata polis sebelum itu menerima satu laporan pada jam 10.53 pagi semalam, mengenai wanita yang menggunakan akaun Facebook atas nama Diana Mat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum laporan polis itu dibuat, beberapa tangkap layar hantaran oleh suspek menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis, didapati tersebar melalui media sosial.

“Pada jam 9 malam tadi, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pengarah syarikat pembungkusan di Petaling Jaya, ditahan.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik wanita itu, dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran di Facebooknya,” katanya dalam satu kenyataan media, pagi ini.

Mohd Fadzil berkata, wanita itu kini ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah; Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar.

“Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan,” katanya. – BH Online

Tags: , , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu