Social
140

Padah palsukan invois

Shah Alam – Bekas pengurus syarikat didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan invois pembekalan barang bernilai RM57,600 untuk Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), empat tahun lalu.

Tertuduh, Norehan Mat Yusof, 43, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Norehan merupakan pengurus dan pengarah syarikat ANQ Sdn Bhd secara kontrak dan kini bekerja sebagai seorang jurujual, didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Sept 2017.

Norehan didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama dan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana pemalsuan dokumen merupakan kesalahan yang berat dan mengakibatkan kerugian kepada kerajaan Malaysia.

Terdahulu, peguam Sharen Rosli yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan wanita itu mempunyai tanggungan bulanan RM4,500 yang dikongsi bersama suaminya, selain seorang ibu kepada tujuh orang anak dan menyara adik ipar tidak bekerja yang mengalami masalah kemurungan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu