Social
138

Padah pandu kereta di laluan motosikal

Kajang – Polis mengesahkan telah mengeluarkan saman ke atas seorang lelaki warga emas yang memandu kereta di laluan motosikal dalam satu kejadian di Plaza Tol Batu 11 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian pukul 10.55 pagi itu melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Mercedes Benz sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari arah Balakong.

“Apabila sampai di Plaza Tol Batu 11, lelaki tersebut telah tersilap masuk ke laluan motosikal di Lebuh Raya Grand Saga di mana laluan itu tidak boleh dilalui oleh mana-mana kenderaan selain motosikal.

“Pihak kami telah berjaya mengesan lelaki tersebut di rumahnya dan hasil siasatan bersama waris lelaki itu mendapati dia adalah seorang warga emas yang tidak beberapa sihat dan mengakui tersilap memasuki lorong motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Mohd. Zaid, siasatan polis mengesahkan bahawa kes tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan dan tindakan saman telah dikeluarkan kepada pemandu warga emas itu.

“Tindakan saman dikeluarkan kepada pemandu tersebut di bawah kesalahan Seksyen 79(2) Akta Pengankutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” tegas beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online  melaporkan tentang tindakan seorang pemandu sebuah kereta memandu di laluan motosikal di lebuh raya yang mengundang kecaman netizen.

Menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman Facebook, kelihatan sebuah kereta jenis Mercedes Benz telah menggunakan laluan motosikal berhampiran plaza tol tersebut. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu