Social
220
0

Padah tunjuk hidup mewah

Hong Kong – Padah sering menunjukkan kekayaan di Instagram miliknya, seorang Instafamous Hong Kong dirompak sekumpulan penjenayah yang memecah masuk kediamannya dengan kerugian AS$400,000 (RM1.6 juta).

Portal The Sun melaporkan, wanita itu, So Mei Yan, 25, cukup dikenali kerana sering memaparkan kekayaan melalui gambar di media sosial seperti memakai pakaian mahal, aksesori mewah, kereta dan wang tunai.

Mei Yan mendedahkan rumahnya dimasuki perompak yang melarikan 10 beg tangan, tujuh jam tangan, laptop dan dua telefon bimbit dengan jumlah kerugian AS$400,000.

Menceritakan kejadian itu, ketika itu dia yang tidur di biliknya terdengar bunyi bising di ruang tamu rumahnya.

“Saya keluar untuk memeriksa dan terkejut melihat tiga lelaki memakai topi, pelitup muka hitam serta bersenjatakan pisau atau kayu.

“Ketika loceng pintu berbunyi, penjaga membuka pintu dan tiga lelaki itu terus memasuki rumah,” katanya.

Mei Yan yang memiliki 80,000 pengikut di Instagram berkata, dia diikat dengan pita pelekat bersama bayi dan pengasuhnya.

Katanya, seorang perompak mengelus kepala anaknya sebelum mengambil barangan berjenama.

“Seorang daripada mereka kembali dan menarik rambut saya serta bertanyakan di mana saya menyimpan wang,” katanya.

Dia juga mengaku dipukul perompak lain ketika memberitahu mereka tidak ada wang di rumahnya.

Ketiga-tiga perompak itu dikenal pasti warga China berusia 40 hingga 50 tahun.

Mereka menggunakan kad akses sebuah apartmen kosong untuk masuk ke unit berkenaan.

Mei Yan yang berjaya melepaskan diri daripada ikatan terus menghubungi polis.

Polis dalam kenyataan mengatakan kumpulan perompak itu cuba memasuki apartmen itu sehari sebelumnya dengan menyamar sebagai pengawal keselamatan.

“Saya sudah beritahu pengawal keselamatan 10 juta kali untuk tidak membiarkan sesiapa masuk tanpa kebenaran saya.

“Tetapi mereka masih membiarkan tiga lelaki pelik dengan penutup muka naik ke atas,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu