Kuala Lumpur Post

Social

Paderi ditahan disyaki lakukan amang seksual terhadap remaja lelaki

SUBANG JAYA — Polis menahan paderi sebuah gereja di Bandar Bukit Puchong semalam, yang didakwa melakukan amang seksual kepada remaja lelaki sejak Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima satu laporan daripada mangsa berusia 13 tahun pada jam 10.09 malam kelmarin, lapor BH Online.

Beliau berkata, mangsa mendakwa diganggu secara seksual dan fizikal oleh suspek di dalam bilik tidur di sebuah gereja yang terletak di Bandar Bukit Puchong, di sini, pada Jun hingga Julai lalu.

“Hasil siasatan, suspek berusia 27 tahun ditahan di sebuah restoran yang terletak di Puchong semalam dan akan direman bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan juga meminta orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kegiatan jenayah boleh menghubungi pusat kawalan IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau mana-mana balai polis berhampiran.