Kuala Lumpur Post

Nation

PADU mampu elak ketirisan dalam pemberian subsidi, bantuan : PM Anwar

PUTRAJAYA — Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan hari ini dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, peluncuran PADU adalah sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Malah, katanya, dengan adanya sistem maklumat bersepadu itu akan menjamin bantuan dan subsidi dapat dinikmati mereka yang berhak.

“Subsidi yang diberikan kerajaan mencecah RM80 bilion. Dalam semua kajian, (subsidi) tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran.

“Sistem PADU adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital dan menjamin manfaat kemudahan dinikmati orang berhak dan tentunya dengan cara itu (dapat) kurangkan kos dan ketirisan,” katanya pada pelancaran PADU di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyasaran semula subsidi penting memandangkan ketika ini subsidi yang mencecah RM80 bilion dinikmati golongan kaya dan bukan warganegara.

Beliau berkata, penyasaran semula subsidi membabitkan elektrik memperlihatkan golongan kaya yang menjadi pengguna tinggi elektrik tidak lagi menikmati subsidi.

Katanya, penyasaran semula subsidi elektrik itu membolehkan penjimatan lebih RM4 bilion.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta Kerajaan Negeri.

Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, PADU dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

‘PADU Go-Live’ bermula hari ini dan ia akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.

Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

Tags: ,