Social
392

Pandu lawan arus : Hukuman penjara model sambilan kekal

Seberang Perai – Mahkamah Tinggi, di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000 terhadap model sambilan wanita yang memandu lawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik dalam kemalangan empat tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Ahmad Amirudin Abd Rahman ketika perayu, Ng Pei Ven, 23 membuat rayuan berhubung hukuman dihadapinya hari ini.

Ahmad Amirudin menolak rayuan dikemukakan perayu berikutan pihak pendakwaan dapat membuktikan setiap inti pati pertuduhan bahawa tertuduh yang memandu kereta Proton Gen2 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli.

Rayuan itu turut ditolak selepas pihak pendakwaan juga mengesahkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam terhadap perayu sebelum ini adalah mengikut undang-undang dan tidak melampau.

Ia berikutan, kesalahan yang dilakukan perayu sangat serius kerana memandu secara melawan arus yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

Dalam pada itu, mahkamah juga memikirkan kepentingan awam dan hukuman yang dikenakan adalah berbentuk ‘literal’ iaitu dapat mencegah perayu dan orang awam lain, selain memberi pengajaran terhadap perayu.

Selain hukuman penjara dan denda dikekalkan, Ahmad Amirudin turut mengekalkan keputusan membatalkan lesen memandu percubaan perayu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Ainy Suhailah Yunus manakala tertuduh diwakili peguam, Cheah Eng Soon.

Pei Ven kemudian dihantar ke Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal bagi menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas bapanya selesai membuat bayaran denda.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan kepada RM12,000 daripada RM7,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, pada 24 Mac 2017 wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, terhadap tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira jam 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Dalam kejadian itu, mangsa maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu Pei Ven secara melawan arus di Kilometer 134, dekat Permatang Pauh.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu