Social
297

Part liar : 10 termasuk penjawat awam ditahan

Kuala Lumpur –  Seorang penjawat awam antara 10 individu yang ditahan selepas didapati menyertai parti liar di sebuah unit apartmen di Jalan Imbi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan jam 7.30 malam.

“Dalam serbuan itu, kami menahan lima lelaki serta lima wanita dipercayai pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun berada di dalam apartmen terbabit.

“Kami turut merampas alat pembesar suara serta beberapa minuman keras yang dipercayai digunakan mereka untuk berhibur,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.

Mohamad Zainal berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati dua daripada 10 individu berkenaan merentas negeri tanpa kebenaran untuk datang ke apartmen berkenaan.

“Dua lelaki masing-masing berusia 30-an berkenaan didapati merentas negeri dari Sungai Buloh dan Kajang, Selangor.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati seorang daripada suspek yang ditahan menyewa apartmen ini selama dua hari sejak semalam dengan bayaran RM130 sehari.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati sembilan daripada 10 suspek berkenaan positif dadah dan mereka dipercayai mengambil bahan terlarang itu di apartmen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kepada semua individu berkenaan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

“Selain itu, kami turut mengeluarkan kompaun RM5,000 setiap seorang terhadap dua individu yang didapati merentas negeri tanpa kebenaran.

“Tindakan kompaun itu diambil mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya.

Katanya, semua suspek berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Harian Metro.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu