Social
160

Parti liar : 6 termasuk seorang wanita ditahan

Butterworth – Padah berparti liar di sebuah kondominium di sini, seramai enam individu termasuk seorang wanita berusia 21 tahun ditahan dalam serbuan sepasukan polis awal pagi tadi tadi.

Malah ketika ditahan dalam operasi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, sebahagian mereka yang berusia antara 21 hingga 38 tahun itu turut dipercayai mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul bagi bertujuan untuk berhibur.

Jelasnya, polis turut merampas sebuah pembesar suara dan alat paparan laser yang digunakan bagi parti liar itu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif dadah jenis syabu, manakala seorang lelaki dan perempuan positif ketamin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kesemua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada 191 individu atas pelbagai kesalahan melanggar SOP membabitkan nilai RM725,500 sepanjang tempoh PKP penuh sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu ujarnya, kesalahan rentas daerah dan negeri merupakan paling tinggi dengan nilai kompaun sebanyak RM330,000 yang dikeluarkan terhadap 67 individu.

“Kita berharap orang ramai terus mematuhi SOP dan berada di rumah sepanjang pelaksanaan PKP penuh ini serta memaklumkan kepada polis sekiranya melihat sebarang aktiviti pelanggaran SOP,” katanya. — Utusan Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu