Social
187

Parti liar : 8 termasuk 2 pelajar perempuan ditahan

Shah Alam – Seramai lapan individu termasuk dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditahan dalam keadaan khayal dan keletihan dalam serbuan di parti liar di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata serbuan dilakukan ekoran aduan awam terdapat aktiviti berkumpul di sebuah rumah dipercayai bermula pada jam 6.30 petang semalam.

“Pada jam 1 pagi tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menggerakkan Pasukan Penguatkuasaan Pematuhan COVID-19 ke kondominium terbabit untuk menjalankan siasatan.

“Ketika serbuan, semua saspek berada dalam keadaan khayal disyaki bawah pengaruh dadah dan keletihan selepas berparti sejak jam 6.30 petang semalam yang dijangka tamat jam 2.00 pagi.

“Polis menahan lima lelaki dan tiga perempuan yang berumur di antara 15 hingga 23 tahun, dipercayai menjalankan aktiviti ‘private party’ itu.

“Siasatan juga mendapati, dua yang ditahan adalah pelajar perempuan berumur 15 tahun dan masih bersekolah di Tngkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, semua suspek itu dikompaun kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit [PPDPPB (LLDDKTJ)(No. 4) 2021] sebanyak RM4,000 setiap seorang.

“Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah IPD Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian saringan awal yang dijalankan mendapati empat lelaki dan tiga perempuan positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo manakala seorang lelaki didapati negatif.

“Kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan empat lelaki dan tiga perempuan ditahan reman mengikut Seksyen 117 KPJ selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — BH Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu