Nation
443

PAS, MIC sokong kepimpinan Muhyiddin sebagai PM

Kuala Lumpur – PAS dan MIC masing-masing hari ini menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi itu yang turut menjadi pendirian bersama 18 Ahli Parlimen parti itu kepada perdana menteri.

“PAS turut melahirkan kekesalan terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara, khususnya dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

PAS turut meminta seluruh rakyat bersatu hati mendukung langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, terutamanya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi ini mengumumkan parti itu menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin serta-merta atas alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata fokus utama kini adalah untuk menjaga kebajikan rakyat ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan bukannya bagi kepentingan politik mana-mana pihak.

Beliau berkata setakat ini, MIC akan terus menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Semasa ditemui pemberita selepas mengagihkan bakul makanan kepada penduduk Tapah, Perak, hari ini, beliau berkata keputusan UMNO untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin perlu dimuktamadkan di peringkat Barisan Nasional (BN).

“Sebagai parti politik, itu adalah pendirian UMNO dan sebagai rakan sekutu, saya hormat keputusan Majlis Tertinggi (MT) dan pada masa sama, pihak MIC juga perlu berbincang. Perkara ini perlu dimuktamadkan di peringkat BN…, “ katanya.

Sementara itu, akaun Facebook MIC memetik Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran sebagai berkata tuntutan Ahmad Zahid tidak jelas dan tiada hala tuju.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu memberitahu anggota Kabinet parti itu supaya melepaskan jawatan mereka sebelum meminta perdana menteri berundur,” katanya.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu