Kuala Lumpur Post

Social

Pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang selepas bertengkar

BUTTERWORTH — Lelaki dan wanita dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, dalam kejadian di KM2.8 menghala ke Perai, di sini hari ini.

Kedua-duanya dikatakan bertelingkah di atas jambatan berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam laut.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai Shahrul Munawer Taharen berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.49 petang.

Katanya, kedua-duanya menaiki kereta jenis Honda Civic sebelum memberhentikan kenderaan itu di atas jambatan.

“Difahamkan berlaku pertelingkahan membabitkan kedua-duanya sebelum mereka terjatuh ke dalam laut.

“Terdapat lelaki yang juga orang awam di lokasi bertindak terjun menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Shahrul Munawer berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki bot oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi.

Katanya, mereka dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diberi rawatan awal.

“Kedua-dua mangsa berusia 30-an yang mana lelaki terbabit mengalami cedera di kepala dan mereka sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi diberi rawatan.

“Kes kemudian diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi ramat pada jam 8.35 malam,” katanya lagi.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 17 saat yang memaparkan pasangan itu terapung di permukaan air.

Pertengkaran dipercayai membabitkan masalah peribadi namun tidak diketahui hubungan mereka.

Difahamkan, orang awam yang terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa adalah seorang tentera.

Tags: , , , ,