Social
159

Pasangan kekasih ditahan buang bayi dalam semak

Melaka – Sepasang kekasih berusia 18 tahun ditangkap selepas dipercayai membuang seorang bayi lelaki hasil hubungan luar nikah mereka ke dalam semak sehingga menyebabkannya meninggal dunia, dalam kejadian Isnin lalu.

Suspek lelaki telah ditangkap kira-kira pukul 11 malam di pekarangan Hospital Melaka, manakala kekasihnya ditahan hari ini (Rabu) selepas mendapatkan rawatan akibat pendarahan susulan melahirkan bayi berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil soal siasat, suspek wanita mendakwa telah melahirkan bayi tersebut kira-kira 12 tengah malam pada 29 Mac lalu di rumah teman lelakinya di Taman Telok Emas di sini.

“Suspek wanita telah melahirkan seorang bayi lelaki yang ketika itu masih hidup dan kelahiran itu telah disambut oleh teman lelakinya.

“Suspek lelaki kemudian meletakkan bayi mereka di dalam kotak dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum membuangnya di kawasan semak berhampiran kilang di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukri menambah, suspek lelaki bagaimanapun mendakwa telah mengambil semula bayi mereka dan membawanya ke hospital, namun, disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pihak polis telah menerima aduan daripada hospital tersebut, bahawa suspek lelaki membawa bayi tersebut kira-kira pukul 10.27 malam dalam keadaan tiada tanda-tanda masih hidup.

“Bertindak atas aduan tersebut, polis telah membuat tangkapan ke atasnya, manakala teman wanitanya pula ditahan hari ini (Rabu) selepas menerima rawatan kerana mengalami pendarahan,” ujarnya.

Katanya lagi, pasangan itu juga mengakui telah melakukan hubungan seks sejak awal Januari lalu sehingga menyebabkan suspek wanita tersebut hamil.

Ujarnya, suspek lelaki kini direman sehingga 2 April dan kedua-duanya akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis Melaka sentiasa memandang serius ke atas kesalahan jenayah terutamanya melibatkan kes-kes pembuangan bayi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah,” tegasnya. – Utusan Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu