Social
298

Pasangan kekasih langgar polis dihadap ke mahkamah

Bandar Baru Bangi – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, berhubung kes menyebabkan kecederaan dan melakukan khianat terhadap seorang anggota polis pada Selasa lalu.

Pekerja kilang, Muhammad Asraf Zulkefli, 19, mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkenaan, manakala Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, yang dituduh bersubahat atas kesalahan sama pula mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majisret, Effandi Nazila, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa menyebabkan kecederaan terhadap penjawat awam, Mohamad Amirul Yahya yang sedang melakukan kewajipannya pada jam 10.30 malam Selasa lalu di Seksyen 9, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan sengaja merosakkan palang pemegang, ekzos, rim dan nombor pendaftaran belakang motosikal Yamaha Y15 milik Mohamad Amirul sehingga menyebabkan kerugian RM1,060 pada masa, tarikh serta lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Umiezatul Asyikin pula didakwa bersubahat atas dua pertuduhan sama yang dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzan Mohd Nor yang memohon mahkamah supaya menetapkan ikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan tarikh 12 April depan untuk sebutan semula kes, serta mendapatkan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan anggota polis cuba menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, pemandu MPV terbabit enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa ‘memanjat’ kenderaan itu dalam usaha untuk menahan suspek. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu