Kuala Lumpur Post

Social

Pasangan warga emas cedera disamun 4 lelaki berparang

ALOR GAJAH — Sepasang suami isteri cedera dalam kejadian samun selepas empat lelaki bersenjatakan parang menceroboh rumah mereka di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu, Simpang Ampat, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, anak perempuan mangsa yang terdengar bunyi bising lalu membuka pintu biliknya sebelum melihat dua daripada suspek bersenjatakan parang cuba menerpanya, namun dia sempat mengunci pintu bilik dan menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata sejurus laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, anggota Balai Polis Simpang Ampat dan Cawangan D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan kereta Honda City warna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

“Dalam kejadian ini mangsa lelaki berusia 60-an cedera di bahagian belakang badan, manakala isterinya berusia 70-an cedera di bahagian tangan, kedua-duanya dirawat di Hospital Alor Gajah.

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian, polis mengesan seorang lelaki sedang bersembunyi disemak tepi rumah kosong dalam jarak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

“Semasa proses menahannya, berlaku pergelutan di antara polis dan suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, hasil penahanan dan pemeriksaan ke atas saspek, pihak polis menjumpai sebuah beg pakaian mangsa yang dilarikan serta merampas pakaian dan senjata parang yang diguna oleh saspek ketika samun.

Katanya, hasil semakan rekod jenayah lampau suspek didapati mempunyai 17 rekod dadah dan lima rekod jenayah, selain ujian saringan awal air kencingnya positif dadah syabu.

“Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk reman dan hasil soal siasat, dia mengaku terbabit kes samun yang sedang disiasat bersama tiga rakan sejenayah yang masih bebas.

“Polis masih berusaha mengesan rakan-rakan suspek untuk siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai samun bersenjata mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Amirul Ashwar Khalid, menerusi telefon 017-636 3451.