SUNGAI PETANI — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempromosikan produk usahawan desa secara besar-besaran ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata namun, produk berkenaan mestilah berkualiti dari segi kebersihan dan pembungkusan yang menarik sebelum boleh dipasarkan ke luar negara.
“(Boleh) belajar dari Jepun … kita bagi elok, bersih, mutu dah baik, pembungkusan dah elok, boleh jual … saya setuju (kalau) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) untuk bawa promosi besar-besaran di Dubai, Arab (Saudi) dan Eropah barang-barang (usahawan desa) ini, saya kata silakan, saya akan berikan peruntukan yang cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Sungai Petani di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar juga meminta usahawan desa mendapatkan pandangan dan nasihat semasa penganjuran mini karnival itu dalam usaha meningkatkan mutu pengeluaran produk sekali gus menghasilkan produk yang lebih baik dan berkualiti.
Beliau berkata usahawan desa boleh mengambil manfaat daripada penganjuran mini karnival itu untuk meningkatkan pendapatan melalui perniagaan masing-masing.
“Saya nak beritahu, KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) ada, pegawai kanan ada, dapat menteri yang begitu prihatin cari jalan bagaimana nak tingkat pendapatan usahawan desa ini. Jadi ambil peluang ini … kita kira, ukur apa yang kerajaan telah buat,” kata beliau.
Selain itu, Anwar berkata penganjuran mini karnival itu dilihat dapat memberi ruang dan peluang untuk mengangkat martabat usahawan desa.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan komited untuk membantu masyarakat miskin di negara ini dan telah memperuntukkan sejumlah RM460.2 juta untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara bagi tahun ini.