Nation
114

PBKD lulus pendaftaran bersyarat vaksin AstraZeneca

Putrajaya – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi produk vaksin Covid-19 “Vaccine AstraZeneca Solution for Injection” untuk kegunaan semasa bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan pendaftaran bersyarat bagi produk yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan itu dibuat dalam mesyuarat PBKD kali ke-355 hari ini.

“Pendaftaran vaksin Covid-19 yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 15 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan terus memantau dan menilai data-data tambahan serta terkini berkaitan produk vaksin berkenaan.

“Ini bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA serta diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu