Nation
212

PBKD luluskan kebenaran bersyarat Ravida® Tablet 200mg

Kuala Lumpur – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia telah meluluskan pendaftaran bersyarat produk Ravida® Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk Ravida® yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa.

Menurut Dr Noor Hisham, produk itu dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia.

“Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang 2030.

“Bagaimanapun, kos pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals ( DAA) pada masa ini memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan yang berkesan dengan kos yang lebih berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 untuk merangka hala tuju yang jelas dan memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B dan C dapat dicapai.

Sehubungan itu katanya, KKM bekerjasama dengan Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) untuk memulakan inisiatif kolaborasi pada 2016 bagi mengurangkan halangan dari segi akses dan kemampuan untuk pesakit HCV mendapatkan rawatan di Malaysia.

“Hasil utama kerjasama ini adalah melalui pelaksanaan Kajian Klinikal HCV DNDi iaitu kajian STORM-C-1 yang dijalankan di enam fasiliti di Malaysia dan empat fasiliti di Thailand.

“STORM-C-1 merupakan kajian klinikal penting bagi permohonan pendaftaran produk tersebut dan dapatannya juga telah diterbitkan oleh jurnal ‘The Lancet Gastroenterology & Hepatology’ pada 15 April 2021,” katanya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu