Nation
321

PDRM bersedia hadapi ugutan Korea Utara

Shah Alam -Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan dan ugutan yang dilakukan terhadap Malaysia, susulan kenyataan yang diberikan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song.

“Orang yang tengah marah macam begitulah perkataan yang keluar, tetapi kalau dia ada di sini mungkin kita akan ambil tindakan tetapi sebab dia sudah pergi pun, biarlah dia pergi,” katanya Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu-Song, yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.

“Kita terima macam-macam ugutan pun, tetapi di pihak keselamatan kita berjaga-jaga untuk pelbagai kemungkinan dan sejarah menyatakan sedemikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Semalam, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang pada Jumaat, untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Pada Jumaat, Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada hari sama, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup kedutaan negara berkenaan di sini yang operasinya sudah digantung sejak 2017.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu