Nation
110

PDRM kemas kini aplikasi bayar saman

Kuala Lumpur – Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menambah baik platform e-bayaran dan aplikasi MyBayar Saman bagi meningkatkan lagi keberkesanan kutipan saman.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata sehingga semalam, seramai 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lalu.

“Kita dalam proses kemas kini sistem, antaranya dengan memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran yang dikenakan terhadap individu,” katanya.

Setakat ini, MyBayar Saman adalah pembekal tunggal sistem pembayaran dalam talian untuk orang ramai membayar saman dikeluarkan PDRM.

Azisman berkata, PDRM merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman selepas tawaran diskaun sehingga 50 peratus menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih itu tamat semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, tawaran itu diberikan sempena sambutan Hari Polis ke-214 dari 25 Mac hingga 11 April dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 15 April.

Semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garisan kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu