Kuala Lumpur Post

Nation

PDRM siasat kenyataan Kit Siang didakwa gugat ketenteraman awam

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung ciapan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan berkata imej tangkap layar ciapan tersebut tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Beliau berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menjadi pengguna media sosial bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Lim dipercayai mengeluarkan kenyataan Will The Houses Of The Prime Minister and Ministers of Malaysia Be Set On Fire by Angry Protestors As Happened in Sri Lanka Last Week (Adakah Rumah Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Malaysia Dibakar oleh Penunjuk Perasaan Seperti Berlaku di Sri Lanka, Minggu Lepas), lapor Bernama.

Tags: , ,