IPOH — Seorang pegawai agensi kerajaan yang menerima panggilan telefon yang mendakwa kononnya dia mengambil ubat terkawal di hospital kerajaan akhirnya terjerat dengan sindiket penipuan atas talian sehingga kerugian RM168,400.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, wanita berusia 45 tahun itu menerima itu pada 5 Januari lalu yang mendakwa dia mengambil ubat terkawal daripada Hospital Pulau Pinang.
Menurutnya, mangsa mulanya menafikan dakwaan itu lalu dinasihatkan untuk membuat laporan polis secara sambungan talian terus kononnya kepada ‘pegawai polis’.
“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis mengarahkan mangsa mengikuti arahannya. Mangsa yang ketakutan mengikuti arahan itu termasuk menghantar gambar kad pengenalan.
“Suspek juga diberikan satu surat yang mengandungi butiran mangsa disyaki terbabit dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain waran tangkap ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan bank peribadinya berjumlah RM168,400 yang dimasukkan ke lima akaun bank berbeza milik suspek sebelum menyedari dirinya tertipu.
“Mangsa yang berasal dari Taman Tawas Gemilang, di sini kemudiannya membuat laporan polis pada semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.