Kuala Lumpur Post

Social

Pegawai imigresen antara 4 didakwa seludup 6 warga Vietnam

TAIPING — Seorang pegawai imigresen antara empat didakwa di Mahkamah Tinggi Taiping, di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit aktiviti penyeludupan enam migran warga Vietnam pada Mac lalu.

Selain pegawai imigresen itu, Abdul Hadi Mat Din, 42, tiga tertuduh lain adalah Teoh Boon Poh, 58; Chua Eng Keong, 47; dan seorang warga Thailand, Sukree Awang, 48.

Bagaimanapun semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menjalankan penyeludupan migran membabitkan enam wanita warga Vietnam di tempat letak kereta berbayar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu kira-kira jam 11.26 pagi pada 9 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipnyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala peguam T Harpal Singh mewakili Abdul Hadi dan Boon Poh; Mohamad Hafiz Jalaludin diwakili peguam Eng Keong dan peguam Muhamad Syah Azlan Abdulullah mewakili Sukree.

Mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.