Social
321

Pegawai Imigresen didenda RM35,000

Kuala Lumpur – Seorang pegawai Imigresen didenda RM35,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian suapan berjumlah RM21,100 kepadanya tiga tahun lepas, lapor Bernama.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Solihan Johari, 37, mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, Pegawai Imigresen Gred KP 19 di Jabatan Imigresen Bangunan AMC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang itu telah diberikan wang tersebut oleh ahli perniagaan Lew Chen Chung, 44, melalui akaun simpanan milik seorang wanita.

Wang itu adalah bagi membantu proses dokumen perjalanan warga asing melibatkan visa, pas dan permit Jabatan Imigresen Malaysia yang menyaksikan tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta SPRM 2009 untuk menggalakkan integriti serta kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM atau pegawai polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Connought, Lebuh Raya Timur Barat, Cheras di sini antara 14 Feb dan 25 Mei 2018 mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau atau kedua-duanya.

Muhamad Solihan membayar denda itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menyesali perbuatannya selain menghidap penyakit tulang rawan tergelincir dan mempunyai dua anak kecil manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin memohon hukuman denda di antara RM25,000 dan RM40,000 kerana Muhamad Solihan mengaku bersalah pada hari pertama pertuduhan dibacakan.

Mengikut fakta kes, pada 2012, tertuduh telah berjumpa dengan Lew yang menjalankan perniagaan cari jodoh bagi rakyat Malaysia yang ingin berkahwin dengan warga Vietnam dan ahli perniagaan itu menyerahkan kad bank milik isterinya kepada Muhamad Solihan bagi memudahkan lelaki tersebut menerima rasuah sebanyak RM250 secara pindahan wang untuk setiap warga Vietnam yang dilepas masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pada 2018, tertuduh telah menerima RM21,100 melalui tiga transaksi sebagai upah dan tertuduh telah menggunakan wang itu untuk membeli pelbagai harta dan barang seperti motosikal, basikal, telefon bimbit, jam serta barang kemas.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu terdiri daripada pegawai Jabatan Imigresen, ejen dan orang awam ditahan dalam Op Selat berkaitan kes pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

Op Selat merupakan operasi yang digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Di NEGERI SEMBILAN, dua pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menerima rasuah.

Mohamad Izhmi Mohamad Noor, 35, dan Muhammad Ali Mohammed Redzwa, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Izhmi sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 bertugas di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), didakwa menerima RM10,000 daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengan tertuduh di sebuah gerai di Kampung Jijan, Nilai pada Oktober tahun lepas.

Muhammad Ali, juga pegawai Imigresen Gred KP19 dan bertugas di Jabatan Imigresen KLIA pula berdepan empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,500 melalui empat transaksi akaun bank pihak ketiga.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank dan Maybank Islamic Banking Berhad, Cawangan Nilai antara 30 Dis 2017 hingga 1 Dis 2019 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohamad Izhmi, yang diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, diikat jamin RM10,000 manakala Muhammad Ali, yang diwakili peguam Hidayah Muslimah, diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu