Kuala Lumpur Post

Social

Pegawai kanan polis ditahan kes langgar pelajar depan sekolah

IPOH — Seorang pegawai kanan polis ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kemalangan membabitkan pelajar lelaki berusia 17 tahun yang maut dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata lelaki berusia 44 tahun itu, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, ditahan dan akan direman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, pihak polis turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Yahaya berkata hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.40 tengah hari tadi melibatkan kereta Perodua Ativa yang dipandu suspek serta motosikal jenis Yamaha yang ditunggang pelajar tersebut.

“Pelajar itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Yahaya turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Menurutnya orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Terdahulu tular hantaran oleh orang awam di laman Facebook mengenai kejadian berhampiran sekolah SMK Jati, di Meru memaparkan gambar pelajar lelaki berkenaan yang cedera didakwa dilanggar sebuah kereta.

Tags: , , ,