Kuala Lumpur Post

Nation

Pegawai kanan polis lindungi kegiatan haram tidak bergerak solo : SPRM

PUTRAJAYA — Pegawai kanan polis yang ditahan kerana menerima suapan bagi melindungi kegiatan haram di ibu negara baru-baru ini berkemungkinan besar tidak menjalankan aktiviti itu secara solo.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media di sini pada Jumaat berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa pegawai itu tidak bergerak sendirian dalam menerima suapan dan melindungi kegiatan terbabit, selain disyaki wujud penglibatan pegawai polis yang lebih senior.

“Boleh jadi, kami sedang menyiasat hal itu,” katanya ketika ditanya adakah kes turut melibatkan pegawai kanan senior.

Azam berkata, fokus siasatan ketika ini adalah mengenai jumlah wang yang telah diterimanya dan siapa yang memberikan suapan itu.

Sebelum ini, SPRM menahan seorang pegawai kanan polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram di sekitar Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 40-an itu disyaki menerima suapan antara 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.