Social
259

Pegawai polis di lokasi pergaduhan tidak bertugas

Kuala Lumpur – Seorang pegawai polis yang didakwa berada di sekitar lokasi kes bunuh di Jalan Telawi 2, Bangsar semalam selepas video kejadian gaduh di kawasan itu tular, disahkan berada di luar waktu bertugas ketika itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata inspektor berusia 27 tahun yang merupakan pegawai penyiasat jenayah Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mengaku berada di lokasi kejadian, namun dia tidak membawa sebarang senjata api bersamanya kerana tidak bekerja, dan dalam kelepasan tugas.

“Hasil temu bual, pegawai itu memaklumkan dia telah pergi ke Bangsar bersama rakannya untuk makan malam dari rumahnya di Subang Jaya. Semasa kejadian, dia bersama kawannya dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

“Semasa hendak membuat laporan berhubung kejadian itu, dia mendapati kenderaan polis telah sampai di tempat kejadian, dan dia terus pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan.

Anuar berkata video tular itu turut dirakam oleh rakan kepada pegawai polis berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang individu dipercayai anggota polis yang dirakam dalam video tular itu didakwa hanya melihat tanpa melaporkan satu kejadian pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 1.00 pagi yang mengakibatkan seorang maut manakala seorang lagi cedera parah.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditahan di Selayang Batu Caves hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan dan polis masih mengesan beberapa suspek yang telah dikenal pasti. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu