Social
124

Pegawai universiti didakwa terima rasuah

Kuala Lumpur – Seorang Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM32,000 tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Hakimi Mohd Badrol Afandi, 44, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd Hakimi sebagai ejen UIAM didakwa memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM32,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya daripada Ahmad Shukri Abdul Ghani.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk membantu memudahkan urusan tiga syarikat bagi mendapatkan kerja membabitkan baucar bayaran di universiti itu antaranya ‘The Modification Works of IIUM Gallery and Official Launching by IIUM President’ dan ‘Printing Packages of IIUM Corporate Collateral (Executive Diaries, Notebooks and Planners) untuk tahun 2015.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan iaitu menerima barang berharga iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM32,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan daripada individu sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya membabitkan baucar serupa.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Gombak, Jalan Meranti, Setapak, di sini, antara 13 November 2014 hingga 30 Mac 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan, Mohd Hakimi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 27 Mei lalu, Mohd Hakimi dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung kesalahan sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang sebelum ini ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 27 Mei lalu.

“Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes lain yang dihadapi tertuduh memandangkan ia membabitkan transaksi sama,” katanya.

Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 29 Jun ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu