Nation
222

Peguam positif Covid-19, permohonan Rosmah supaya hakim tarik diri dengar kes ditangguh

Kuala Lumpur – Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya, ditangguhkan ke 3 Feb.

Penangguhan itu berikutan peguam utama yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif COVID-19.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu selepas peguam Azrul Zulkifli Stork, bertindak bagi pihak Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent telah disahkan positif COVID-19 pada 17 Jan lepas dan beliau diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 26 Jan ini.

Menurut Azrul, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menjalani kuarantin sehingga 25 Jan kerana merupakan kontak rapat kepada peguam utamanya itu.

“Turut menjadi kontak rapat kepaan Geethan ialah peguam bela Rosmah yang lain iaitu Datuk Firoz Hussein (Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 25 Jan manakala peguam Reza Rahim dan P. B Rajivan Nambiar dikuarantin sehingga 24 Jan.

“Oleh itu, saya memohon kes hari ini ditangguhkan ke 3 Feb ini,” kata peguam itu pada prosiding hari ini.

Azrul berkata surat berhubung permohonan penangguhan kes berkenaan telah dihantar kepada mahkamah pada 20 Jan lepas.

Mengenai permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya, Azrul berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan esok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata pihaknya telah menerima surat daripada pembelaaan berhubung penangguhan kes, namun memaklumkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA), selepas hakim itu yang turut mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid, telah menolak permohonan Rosmah pada 14 Dis.

Rosmah menfailkan permohonan pertama atas alasan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram dihadapinya kerana hakim sama turut mendengar kes solar dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Dalam permohonan kedua, Rosmah antara lain mendakwa tindakan pihak pendakwaan untuk membawa masuk percakapan beramaran kes pengubahan wang haramnya di dalam perbicaraan kes solar semestinya akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila beliau mendengar perbicaraan kes AMLA.

Rosmah juga merayu terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertamanya dan rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu