Nation
103

Peguam Zahid persoal kredibiliti bekas setiausaha

Kuala Lumpur – Pihak pendakwaan tersilap apabila beranggapan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhasrat untuk menjadikan bekas setiausaha eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly sebagai ‘kambing hitam’ (scapegoat) bagi kesilapan diri sendiri, Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

Peguam pembelaan Hamidi Mohd Noh berkata memang terdapat bukti menunjukkan ‘masalah’ (mess) yang dilakukan Mazlina, yakni saksi pendakwaan ke-90 (SP90) sebagaimana yang digambarkan semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan Ahmad Zahid yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

“Sekiranya mahkamah ini melangkah lebih jauh dalam menentukan kredibilitinya sebagai saksi, pihak pembelaan mengatakan bahawa Mazlina bukan saksi yang boleh dipercayai kerana pernyataannya yang tidak konsisten, kelemahannya dalam mengingat dan menggambarkan peristiwa lepas serta sikapnya semasa pemeriksaan balas.

“Oleh karana ada bukti yang kukuh bahawa Mazlina tidak kompeten, pihak pembelaan mendesak mehkamah ini untuk memeriksa bukti-bukti beliau dengan hati-hati dan perasaan curiga, dan untuk melihat bukti serta memastikan bahagian mana dari bukti itu yang menuduh tertuduh dapat diterima.

“Bukan niat kami untuk menjadikannya kambing hitam, kami juga tahu daripada pihak pendakwaan bahawa dia adalah penyebab semua ini,” katanya dalam hujah di penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hamidi berkata pihak pembelaan berhujah bahawa tindakan mencabar kecekapan Mazlina dibuat berasaskan bahawa adalah menjadi tugasnya untuk mengurus perkara-perkara berhubung kewangan Yayasan Akalbudi dan tertuduh.

“Mazlina seharusnya secara konsisten dalam mengingati perjalanan tugasnya. Oleh itu kejahilan dalam tindakannya yang sesuai dengan peranannya, tidak seharusnya memihak kepadanya. Pihak pendakwaan mengabaikan hakikat bahawa Mazlina mengaku bahawa dia tahu cap tanda tangan hanya boleh digunakan untuk tanda tangan sijil secara pukal dan kad ucapan perayaan sahaja. Walaupun tahu perkara itu Mazlina dengan cuai menggunakan cap tanda tangan untuk cek,” kata peguam itu sambil menambah bahawa pihak pendakwaan nampaknya mengabaikan beberapa bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan.

Hamidi berhujah bahawa anak guamnya itu seorang yang sangat sibuk dan dia membiarkan setiausaha eksekutifnya (Mazlina) menangani hal ehwal kewangannya.

Menyentuh soal pertuduhan pecah amanah melibatkan RM10 juta yang diberikan kepada Armada Holdings Sdn Bhd, peguam itu berkata syarikat berkenaan telah memulangkan wang (RM10 juta) bersama dengan faedah berjumlah RM69,722.65 kepada Yayasan Akalbudi yang dimiliki Ahmad Zahid.

Oleh itu katanya tuduhan pecah amanah terhadap tertuduh tidak terpakai.

Berhubung tuduhan pecah amanah melibatkan penggunaan dana Yayasan Akalbudi untuk menderma RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam itu berkata berdasarkan bukti SP19 (Datuk Zul Hisham Zainal), niat di sebalik pemberian cek itu semata-mata bagi tujuan derma kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, terutama bagi membayar gaji pemain bola sepak yang memerlukan bantuan kewangan.

“Tidak ada pecah amanah sekiranya semua pemegang amanah yang lain tahu mengenai sumbangan itu dan tidak membantah terhadap pembayaran kepada Bola Sepak PDRM,” katanya.

Hamidi menegaskan bahawa cek RM1.3 juta yang ditanda tangan oleh Ahmad Zahid adalah bagi pembayaran yang dibenarkan oleh perlembagaan syarikat Yayasan Akalbudi, atau dikenali sebagai Memorandum and Articles of Association (M&A).

“Jawapan kami adalah selain daripada fakta bahawa ia adalah derma yang dibenarkan oleh M&A, tidak ada jenayah pecah amanah berlaku kerana pemegang amanah sendiri tahu mengenai sumbangan derma Bola Sepak PDRM, dan mereka tahu dan mereka tidak membantah,” katanya.

Hakim Sequerah kemudiannya berkata niat penuh derma itu seharusnya bertujuan ‘membasmi kemiskinan’ yang merupakan objektif utama Yayasan Akalbudi.

Hamidi menjawab memang tujuan itu adalah membasmi kemiskinan, kerana ia merujuk kepada sekumpulan pemain bola sepak yang belum mendapat gaji mereka untuk sekian lama, sekali gus membasmi kemiskinan pemain bola sepak.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 12 melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 atas dakwaan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan meneruskan hujah mereka hari ini, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu