Nation
451

Pejuang hak asasi wanita Sukumari Sekhar, meninggal dunia pada Hari Wanita Sedunia

Kuala Lumpur – Puan Sri Sukumari Sekhar, seorang daripada pejuang hak asasi wanita terawal di Malaysia, meninggal dunia semalam, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Sukumari, 87, isteri mendiang Tan Sri B. C. Sekhar, individu yang merevolusikan industri getah Malaysia yang juga dikenali sebagai ‘Mr Natural Rubber’, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.20 malam, di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

“Dengan rasa sedih dan dukacita, ingin saya memaklumkan kepada semua bahawa ibu yang kami kasihi, Puan Sri Sukumari Sekhar, telah meninggal dunia lewat malam tadi,” demikian menurut hantaran Facebook yang dimuat naik oleh anak mendiang Datuk Dr Vinod Sekhar yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petra Group.

Sukumari meninggalkan tiga lagi anak iaitu Jayan, Sujatha dan Gopinath, empat orang menantu serta lapan orang cucu.

Menurut catatan Facebook itu, mayat Sukumari akan dibakar di Loke Yew Crematorium selepas selesai majlis penghormatan terakhir yang berlangsung di Dewan Shamshan Bhoomi di sini, bermula 11 pagi hingga 2 petang.

Sukumari, yang juga Timbalan Presiden Pengasas Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), merupakan pejuang terhadap isu berkaitan hak dan kesejahteraan kanak-kanak, termasuk anak-anak yang dilahirkan di luar nikah.

Mendiang juga pernah menerima Anugerah Tokoh Wanita sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 2012. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu