Social
660

Pekebun bunga rugi RM50,000

Cameron Highlands – Pekebun bunga di sini terpaksa membuang tanaman mereka yang rosak kerana tiada permintaan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sektor ekonomi dan sosial.

Seorang pekebun sayur di Kuala Terla di sini, Nantha Kumar, 40, berkata, permintaan bunga di pasaran terjejas teruk kerana kedai menjual bunga terutama di Kuala Lumpur, tidak dibenarkan operasi.

Menurutnya, perkara itu amat dikesali kerana walaupun disenaraikan di bawah sektor pertanian, namun bunga tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu.

“Saya terpaksa membuang 20 kotak bunga kekwa yang sudah rosak baru-baru kerana ia tidak boleh dijual disebabkan kedai bunga tidak beroperasi. Saya tiada pilihan, saya buang di tempat pembuangan sampah.

“Biasanya saya menghantar pesanan bunga ke Kuala Lumpur untuk pelbagai kegunaan terutama untuk upacara sembahyang di kuil dan di rumah penganut agama Hindu.

“Jika keadaan seperti ini berterusan, selepas ini saya terpaksa membuang lebih banyak bunga kerana ia tidak boleh disimpan lama, ia akan rosak. Saya jangka kerugian sekitar RM50,000,” katanya di sini.

Menurutnya, masalah itu dihadapi oleh semua pekebun bunga di sini sejak sekatan pergerakan penuh sektor ekonomi dan sosial dilaksanakan mulai Selasa.

“Namun nampaknya tiada kelonggaran terhadap perkhidmatan menjual bunga menyebabkan produk kami semakin lama semakin rosak sehingga saya terpaksa membuangnya,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu dia berharap kerajaan memberikan kelonggaran untuk kedai menjual bunga beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya, antara SOP yang boleh dilaksanakan di kedai menjual bunga jika dibenarkan beroperasi termasuk menetapkan had masa tertentu beroperasi.

Dia turut berharap perniagaan bunga disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu kerana bunga disenaraikan di bawah produk pertanian seperti sayur-sayuran.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya dapat juga kami menjual produk kami daripada terbuang begitu saja dan terus menanggung kerugian lebih besar,” katanya. — Utusan Malaysia

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu