Social
238

Pekebun dituduh bunuh rakan

Ipoh – Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya dengan menggunakan pisau, dua minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada S. Alphonsus, 40, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh R. Ravindran, 35, di Jalan Persiaran Jelapang 18, Taman Silibin di sini antara 1 dan 2 pagi, 4 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Alphonsus mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 11 malam, 6 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Peguam J. K. Kala yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan menggunakan selipar kerana mendakwa Alphonsus disahkan mengalami jangkitan kuman oleh doktor ketika dibawa ke hospital semasa dalam tahanan reman.

Nur Melati Diana membenarkan ahli keluarga memberikan selipar kepada tertuduh dan menetapkan 9 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu