Social
214

Pekerja kedai herba perubatan maut dipercayai dibunuh

Ipoh – Seorang pekerja kedai menjual herba perubatan maut dipercayai dibunuh dalam premis berkenaan di Jalan Guntong berhampiran Pasar Buntong, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya dimaklumkan orang awam mengenai kejadian menimpa lelaki tempatan berumur 31 tahun dikenali sebagai Boy itu pada kira-kira jam 1.15 tengah hari.

“Ketika kejadian, Boy berada di sebuah bilik di kedai berkenaan sebelum didatangi empat lelaki mencarinya.

“Menurut rakan sekerja Boy yang berada di kaunter kedai, dia terdengar bunyi bising kira-kira lima minit dalam bilik itu dan kemudian melihat Boy seolah-olah dipukul lalu rakannya memanggil ambulans,” katanya kepada media, di lokasi kejadian, hari ini.

A Asmadi berkata, Boy yang bekerja di kedai itu sejak bulan lalu, disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang hadir ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya tidak menemukan telefon bimbit milik Boy dan sedang meneliti jika terdapat sebarang senjata digunakan dalam kejadian itu.

“Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah amanah dan dadah. Kita melihat dari semua sudut dan latar belakang mangsa serta ugutan diterimanya daripada mana-mana pihak, sama ada kes ini berkaitan dadah atau sebagainya,” katanya.

A Asmadi berkata, pihaknya kini mengesan empat suspek dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu