MUAR — Pekerja kontrak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan merogol serta mencabul kehormatan anak teman wanita di dua lokasi termasuk kebun sawit di daerah ini dan Tangkak, sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Noor Azam Abd Rahman, 33, mengaku bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di tiga rumah berlainan di Jalan Haji Kosai, di sini sejak 2021 sehingga 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, dia didakwa mencabul dan merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di sebuah kebun sawit di Serom dan Tangkak dengan kedua-dua kejadian itu berlaku antara 8.40 hingga 9 malam, pada 15 Januari.
Untuk kes ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 14 akta sama dan Seksyen 376 (1) kanun sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 26 Februari ini untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman.