Kuala Lumpur Post

Social

Pekerja ladang dipenjara, sebat tipu 3 syarikat pelancongan

KUALA LUMPUR — Seorang pekerja ladang dihukum penjara masing-masing setahun dengan satu sebatan di tiga mahkamah majistret berbeza, di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan secara berasingan oleh Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Ariffin selepas tertuduh mengaku salah atas semua pertuduhan dihadapi iaitu menipu tiga syarikat pelancongan untuk menyerahkan tiket penerbangan yang keseluruhannya bernilai RM26,588.

Hukuman penjara bermula Isnin lalu iaitu pada hari tertuduh, T Haans Raaj, 22, ditangkap.

Haans Raaj didakwa menipu syarikat Across Travel & Tours Sdn Bhd, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd dan Sedunia Travel Sdn Bhd untuk menyerahkan tiket penerbangan dengan tertuduh membuat pembayaran melalui transaksi yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong syarikat terbabit menyerahkan tiket penerbangan bernilai RM4,960, RM15,397 dan RM6,231 antara 8 Jun hingga 16 Disember lalu di tiga lokasi berasingan di ibu negara.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat atau denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tiga Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, B Sareeka dan Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Haans Raaj memohon hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga kandung dan angkat.

“Saya hanya bergaji RM1,500 sebulan sebagai pekerja ladang di Pahang,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , , ,