Kuala Lumpur Post

Social

Pekerja maut tersepit pintu lif, majikan berdepan tindakan

GEORGETOWN — Syarikat penyelenggaraan lif di sebuah pusat beli-belah di Jalan Burma di sini, boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya kes pekerja yang maut tersepit lif Selasa lalu ada unsur pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja penyelenggaraan lif terbabit sudah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Majikan juga sudah diarah menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan selain membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Hairozie berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan serta merakam percakapan terhadap saksi yang dikenal pasti dan pemeriksaan lanjut ke atas sistem lif terbabit.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Terdahulu media melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan R Tinesh Kumar, 28, maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif dalam kejadian itu.

Mangsa dikatakan mahu memeriksa lif yang rosak selepas ia tiba-tiba berhenti antara tingkat satu dengan aras lantai dan terdapat seorang penumpang lelaki berusia 53 tahun terperangkap dalamnya.

Tags: , ,