Social
115

Pekerja pembersihan hadapi 4 tuduhan termasuk membunuh

Georgetown – Seorang pekerja pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas pada 15 Jun lepas, dan tiga kesalahan lain pada hari sama.

Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, didakwa membunuh Teoh Kar Hin, 61, di Jalan Perak, daerah Timur Laut antara 6.45 pagi dan 6.50 pagi pada 15 Jun, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohamad Adlin juga didakwa atas pertuduhan menghalang empat pegawai polis dalam menjalankan fungsi awamnya di lampu isyarat Jalan Perak, persimpangan Jalan P. Ramlee sehingga Jalan Batu Uban 2 antara 6.45 pagi dan 7.25 pagi, hari sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methaphetamine untuk dirinya, di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 5 petang, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, selain pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Mohamad Adlin juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 12.5 gram, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Batu Uban, kira-kira 7.20 pagi 15 Jun lepas mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam R. Puran.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu