Social
328

Pekerja seks mogok, mengaku petugas barisan hadapan

Brasilia – Pelacur di bandar Belo Horizonte, tenggara Brazil mogok selama seminggu kerana menuntut mereka dimasukkan ke dalam senarai petugas barisan hadapan sekali gus diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin koronavirus.

Beribu-ribu pekerja seks di bandar itu terpaksa mencari pelanggan di jalanan selepas hotel-hotel di mana mereka menawarkan perkhidmatan ditutup oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

“Kami berada di barisan hadapan. Kami menggerakkan ekonomi tetapi kami kini berdepan risiko (Covid-19).

“Kami perlu divaksinasi,”  kata Presiden Persatuan Pekerja Seks Minas Gerais, Cida Vieira kepada agensi berita AFP.

Vieira dan sejumlah wanita lain mengadakan protes pada Isnin lalu di sebatang jalan di Belo Horizonte dalam negeri Minas Gerais dengan deretan hotel ditutup. Mereka membawa sepanduk mengisytiharkan: “Pekerja seks adalah (golongan) profesional”

Kerajaan Brazil sebelum ini memberi keutamaan kepada pekerja kesihatan, guru, warga emas dan kaum pribumi serta golongan berisiko lain untuk menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

Kerajaan berharap dapat memberi pelalian kepada semua golongan tersebut yang berjumlah sekitar 77 juta orang pada separuh penggal pertama tahun ini tetapi pakar-pakar berkata, sasaran tersebut mungkin tidak dapat dicapai sehingga September ini berikutan kekurangan bekalan vaksin.

Seperti negeri-negeri lain, Minas Gerais bergelut dengan gelombang pandemik kedua tetapi bilangan kematian di rantau itu adalah antara yang paling rendah di Brazil.

Pandemik Covid-19 meragut lebih 332,000 nyawa di Brazil iaitu angka korban kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu