GOMBAK — Seorang lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di daerah ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima dua laporan kematian akibat kejadian tersebut semalam.
“Untuk kes yang pertama, hasil siasatan mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun telah makan makanan dibawa balik ibunya dari program di sebuah sekolah, Sabtu lalu.
“Selepas makan makanan tersebut, mangsa, ibu serta bapanya mengalami cirit-birit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Ariffin, bapa mangsa telah membuat panggilan kecemasan selepas mangsa tidak sedarkan diri sekitar pukul 1.30 tengah hari, semalam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Noor Ariffin memaklumkan kes kedua pula membabitkan mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang turut maut selepas makan makanan dibawa pulang bapanya.
“Pada Sabtu lalu, bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membawa balik makanan daripada program di sebuah sekolah yang sama.
“Semalam, ibu mangsa mendapati anaknya demam, muntah serta cirit-birit lalu menghantar anaknya ke Hospital Selayang.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh pegawai Hospital Selayang,” katanya.
Jelas beliau, mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat pengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 0125018901,” katanya.