Kuala Lumpur Post

Social

Pelajar kolej vokasional ditemui mati dipercayai dipukul rakan

LAHAD DATU — Seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada jam 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di bangunan tingkat asrama lelaki kolej berkenaan. Mayat seorang remaja lelaki dalam keadaan terbaring ditemui di atas lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rohan Shah berkata, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Katanya, pihaknya mengenal pasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, pihak polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.

“Setakat ini, polis juga mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.