Social
478

Pelajar terjun tingkat tiga sekolah

Kuala Selangor – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang menghadapi tekanan dalam pembelajaran nekad terjun daripada tingkat tiga bangunan sekolahnya di Tanjong Karang di sini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pelajar berusia 15 tahun itu patah tulang belakang dan kaki kanannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati pelajar itu hadir ke sekolah pukul 7 pagi dengan kelasnya berada di tingkat tiga bangunan tersebut.

Katanya, setengah jam kemudian remaja itu telah keluar kelas dan melompat melalui koridor bangunan.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini mempunyai tekanan dalam pembelajaran dan tidak mampu menahan tekanan itu lagi sebelum nekad terjun.

“Tiada sebarang unsur jenayah berlaku berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Ramli menambah, pelajar itu yang patah tulang belakang dan kaki kanan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan sebelum dibawa ke Hospital
Sungai Buloh (HSB).

Ujar beliau, remaja itu kini masih berada di unit kecemasan HSB telah disimen di bahagian pinggul sehingga dada selain menjalani pemeriksaan ujian imbasan (CT-Scan).

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,” jelasnya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu