Social
144

Pelajar tingakatan 5 rugi RM15,300 ditipu

Kepala Batas – Seorang pelajar Tingkatan Lima, di sini, terpaksa berputih mata apabila bukan saja gagal memiliki telefon pintar idaman yang ditawarkan pada harga murah, malah kerugian RM15,300 akibat ditipu sindiket jualan dalam talian.

Terdahulu, lelaki berusia 17 tahun itu tertarik dengan satu iklan melalui Instagram yang menawarkan produk berkenaan kononnya dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa kemudian berminat untuk membeli sebuah telefon pintar baharu jenis iPhone X yang ditawarkan pada harga RM300.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa diminta membuat pembayaran ke akaun bank diberikan, selain dijanjikan akan menerima telefon berkenaan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian dihubungi dua individu mendakwa adalah pihak jaminan produk itu serta kastam negara jiran yang meminta bayaran berjumlah RM15,000 daripadanya.

“Individu terbabit dikatakan berjanji bahawa wang itu akan dipulangkan kepada mangsa ketika dia menerima kiriman telefon berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, Noorzainy berkata, mangsa meminjam RM15,000 daripada bapanya dan membuat pembayaran itu secara berperingkat.

“Namun, dia diminta terus membuat pembayaran hingga RM30,000 sebelum mangsa mengesyaki diri sudah termasuk jerat penipuan,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM15,300, tampil membuat laporan polis, semalam, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu