Nation
215

Pelajar tingkatan 2 bantu operasi SAR mangsa lemas dapat penghargaan polis

Marang – Meskipun baru berusia 14 tahun, namun keberaniannya dalam membantu pasukan penyelamat mencari seorang mangsa lemas di pantai Jambu Bongkok di sini, pada akhir Disember lalu agak luar biasa hingga mendapat penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhammad Norman Haikal Mazlan ketika dihubungi Bernama berkata beliau sangat terharu dan gembira menerima penghargaan tersebut, malah ia adalah motivasi untuk dirinya terus menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pada masa akan datang.

“Dalam kejadian pada 25 Dis lalu, saya dan ayah, Mazlan Mamat, 58, telah menggunakan jet ski untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kerana keadaan laut yang sangat bergelora dengan ombak besar ketika itu agak menyukarkan pergerakan bot pasukan penyelamat dalam pencarian.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam operasi seumpama itu dan tak sangka pula sumbangan kecil saya mendapat penghargaan PDRM sempena sambutan Hari Polis yang ke-214 baru-baru ini,” katanya yang mahir mengendalikan jet ski sejak berusia enam tahun hasil tunjuk ajar ayahnya serta tiga abangnya (pelumba jet ski yang pernah menyertai pertandingan di peringkat Asia).

Bagi Mazlan pula, penglibatannya sebagai sukarelawan dalam operasi SAR bersama pasukan penyelamat bukanlah perkara baharu kerana beliau berpengalaman membantu polis sejak 20 tahun yang lalu.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas penghargaan ini dan berharap Muhammad Norman Haikal akan terus menyerlah sebagai pelumba jet ski terkenal satu hari nanti dan pada masa sama sentiasa rendah hati menggunakan kemahiran ini untuk menghulurkan bantuan,” katanya yang kerap membawa anaknya itu menyertai pertandingan jet ski di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata keberanian pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Marang itu wajar dicontohi semua pihak dalam bekerjasama dengan pihak polis dan pasukan penyelamat yang lain.

Beliau berkata kemahiran Muhammad Norman Haikal mengendalikan jet ski bersama-sama ayahnya telah membantu pihak polis menamatkan misi pencarian selama tiga hari dalam operasi itu.

“Tepat pukul 6.30 petang 27 Dis, Muhammad Norman Haikal dan kumpulan jet ski yang terdiri daripada polis marin dan orang awam telah menemukan mayat mangsa kira-kira 500 meter dari pesisir pantai Jambu Bongkok.

“Mereka mengambil masa hampir dua jam untuk membawa mayat ke tepi pantai memandangkan keadaan laut pada ketika itu sangat bergelora dan ombak yang kuat menyebabkan bot-bot penyelamat tidak boleh menghampiri pantai,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata keberanian dan kesungguhan Muhammad Norman Haikal untuk memberikan bantuan dalam operasi SAR itu telah mendapat perhatian banyak pihak.

“Tragedi lemas itu berlaku pada musim tengkujuh, bayangkan dalam keadaan laut yang bergelora dan ombak yang sangat kuat, Muhammad Norman Haikal sanggup menggadaikan nyawa untuk menghulurkan bantuan dan ini wajar menjadi contoh kepada anak muda yang lain.

“Tahniah diucapkan kepada beliau serta keluarganya dan polis berharap lebih ramai anak muda yang dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya.

Dalam tragedi itu, mangsa Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kampung Bukit Tok Bat Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu dikatakan mandi bersama enam rakannya di lokasi tersebut sebelum seorang daripada mereka menyedari mangsa sudah semakin jauh ke tengah laut.

Operasi SAR selama tiga hari itu turut menggunakan perkhidmatan helikopter untuk melakukan pemantauan udara sepanjang 24 kilometer di pesisir pantai dari Jambu Bongkok hingga ke Kuala Dungun serta lapan kilometer ke tengah laut. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu