Kuala Lumpur Post

Social

Pelajar tingkatan 4 maut terjatuh bangunan sekolah

SUNGAI BULOH — Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Bukit Rahman Putra di sini, semalam.

Pelajar berusia 16 tahun terbabit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 11.26 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di sekolah berkenaan.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati punca kematian kerana kecederaan parah di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam.