Kuala Lumpur Post

Social

Pelakon, pelawak Jaafar Onn meninggal dunia

PETALING JAYA — Pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah Serdang kira-kira 11.30 pagi tadi.

Berita pemergian Jaafar, 73, atau nama sebenarnya Jaafar Onn Awang disahkan anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Hanif berkata, urusan pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama keluarga arwah, lapor Berita Harian.

Katanya, Jaafar ditahan di wad hospital itu sejak kelmarin akibat pendarahan semasa membuang air besar.

Menurutnya, terdahulu doktor berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas keadaan bapa angkatnya itu kritikal dan jantung terhenti, pagi tadi.

Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Susulan itu, Jaafar berkata dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.